Saturday, June 12, 2010
Sekitar Hari Keluarga 2010 : Bahagian Pertama
Alhamdulillah sebagaimana dirancang, Hari Keluarga Maklimah berjaya diadakan pada 5 hingga 8 Jun 2010. Pemilihan tempat sekitar Terengganu dan Kelantan dibuat kerana mengambil sempena dengan jemputan kenduri kawin di rumah Che Shahrom Kuala Terengganu pada 6 Jun 2010.
Walaupun terdapat beberapa program asal terpaksa dipinda pada saat-saat akhir serta ada yang tidak dapat dilaksanakan, namun pada keseluruhannya semuanya berpuas hati walaupun agak kepenatan setelah pulang ke rumah masing-masing. Yang paling penting dapat semuanya bersama berkumpul, kecuali Abdul Rahman dan Nadiah. Aleef yang baru kebah pun nampak ceria. Cuma Aqilah yang tidak sihat sepanjang program.
Hari Pertama – 5 Jun 2010 ( Sabtu )
Awal pagi 5 Jun 2010, memasing bertolak daripada rumah mengikut ketetapan yang dari Johor & Melaka berkumpul solat Suboh di Masjid Segamat dan dari KL dapat join konvoi di Gambang atau Kuantan.
Akhirnya semuanya berkumpul sarapan pagi di Taman Pertanian Jubile Perak Kuantan kekira jam 9.00 pagi. Banyak juga makanannya. Lepas sarapan, konvoi dengan 5 kereta bergerak lancar ke Kuala Terengganu.
Masjid Rusilla
Konvoi tiba untuk solat Zuhor di Masjid Rusilla kekira jam 1.15 tengahari. Mungkin ada yang kali pertama sampai di masjid yang agak terkenal dan dikaitkan rapat dengan Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang.
Lepas solat, round-round juga sekitar untuk lihat sendiri rumah beliau. Tapi macam dah dikosongkan aje. Mungkin telah pindah. Selalunya masjid ini penoh dengan orang ramai yang hadir untuk mengikuti kuliah agama pada pagi Jumaat.
Kompleks Batik Noor Arfa
Kemudian singgah di Kompleks Kraft Noor Arfa yang terletak di Kawasan Perindustrian Cendering. Selain menempatkan kilang, juga terdapat Showroom yang agak menarik. Rasanya semuanya buat pertama kali sampai di sana. Di sana kami dapat lihat bagaimana batik tekap dibuat. Terdapat juga jualan pelbagai produk berasaskan batik. Tapi tak pastilah harganya jika dibandingkan dengan Kedai Payang. Itu yang memasing tak berapa nak membeli di sini.
Noor Arfa dianggap pengasas industri batik tangan di Terengganu iaitu sejak tahun 1980-an. Nama Nor Arfa adalah gabungan suami isteri Wan Mohd. Ariffin and Noor Hijerah yang mengusahakan industri ini.
Kini Noor Arfa bolehlah dianggap sebagai pengeluar batik terbesar di Malaysia dengan pusat pengedarannya terdapat di merata seluruh negara. Kualiti, corak dan rekabentuk batiknya memang diakui ramai. Showroomnya di tingkat atas juga dikatakan yang terbesar seumpamanya di Malaysia dan sering menjadi persinggahan pelancong antarabangsa.
Tiba Rumah Che Shahrom
Konvoi tiba rumah Pengantin kekira jam 2.30 petang. Kami dijamu dengan Nasi Dagang yang memang terkenal di Terengganu. Che Meah sedang sibuk di dapor siapkan kuih-muih untuk Tahlil malam ini serta juadah esok.
Kemudian kami check-in di Homestay yang disediakan iaitu di Jalan Pusara. Mengerunkan sikit, sudahlah namanya pun Jalan Pusara, terpaksa meredah kubor Cina. Namun selesa dengan rumah yang disediakan khas untuk kami sekeluarga Maklimah.
Borong Di Pasar Payang
Memandang hari telah petang, kami bergegas ke Pasar Payang sebab jam 6 petang banyak kedai mulai ditutup. Orang sungguh ramai dan nak dapatkan parking pun payah. Nampaknya ramai juga yang memborong di Pasar Payang terutamanya untuk yang perempuan dan kanak-kanak. Kain batik sini memang murah dan yang terkini jika dibandingkan dengan harga di luar Terengganu. Payah sangat nak memilih, agaknya sampai ada yang nak beli kedai-kedainya sekali kalau duit banyak !!!
Ada kain songket yang diletakkan tanda harga RM 6,500 dan bila ditawar dapat RM 4,500. Fuh ... siapalah yang nak pakai kain songket rega macam tu ? Selain kain songket tenunan tangan, kini banyak juga dijual songket buatan mesin.
Sutera, Batik atau Songket Terengganu dikatakan lebih berkualiti berbanding dengan yang Kelantan. Entahlah. Kemudian bertolak semula pulang ke Homestay Jalan Pusara. Nain @ Che Arin pulak nak cari kedai Secret Resepi. Maka mencarilah dimana kedainya, namun jumpa juga akhirnya. Hari sudah menghampiri Maghrib.
Program Malam
Lepas solat maghrib berjamaah kami bertolak semula ke rumah Che Shahrom sebab katanya majlis tahlil dibuat lepas waktu Isyak. Sampai sahaja, majlis tahlil baru selesai diadakan dikalangan anak beranak adik berdik beradik sedara mara sahaja. Rupanya program diubah, tak pasti entah kenapa.
Nak rewang tak ada apa sangat nak di rewangkan. Untuk hidangan kenduri esok, dikatakan pakai catering sahaja. Tapi di dapor sibuk siapkan juadah tambahan untuk hidangan majlis kenduri esok. So sembang sedara mara. Che Har, Che War dan Che Asir baru sampai hampir maghrib. Meriah jadinya.
Bisnes Homestay
Che Rauf buka kisah bagaimana beliau kini sibuk mengendalikan rumahnya di Bukit Jelutung yang disewakan sebagai Homestay. Katanya dalam sebulan boleh dapat sehingga RM 4 ribu !!! Lumayan tu sedangkan bayar bulanan ansuran bank sekitar RM 1 ribu sahaja.
Selalunya rumah beliau disewa satu atau dua hari oleh keluarga graduan masa konvo UITM, mesyuarat, menjalani rawatan perubatan dan jalan-jalan. Ok juga, tambahan tak berapa jauh dari rumah beliau. Jadi senanglah nak maintain atau kemaskan rumah setelah orang keluar. Kiranya manager cum cleaner !!!
Hari Kedua – 6 Jun 2010 ( Ahad )
Awal pagi kekira jam 3 pagi, black-out. Lama juga bergelap sehingga suboh. Nasib baik ada yang bawa Lampu Emergency. Entah sebab panas atau apa, si Aleef menangis sekuat-kuat hatinya. Puas memasing memujuk. Tak tahulah sama ada gangguan mahluk halus atau apa benda. Maklumlah, belakang rumah betul-betul kubor cina. Cuba dibacakan ayat-ayat suci al-Quran seperti Al-Fatehah, Ayat Kursi An-Nas dan ayat-ayat lain. Akhirnya Aleef berhenti menangis.
Majlis Sambutan Hari Lahir
Setelah bersiap nak bertolak semula ke rumah Pengantin, rupanya ada suprise. Nain @ Che Arin keluarkan kek hari lahir yang dibelinya dari Secret Resepi untuk menyambut mereka yang lahir pada bulan Jun ini. Ramai rupanya yang rasanya tidak semua tahu. Maka mereka semua memotong kek beramai-ramai dan makan kek berkenaan sebagai sarapan pagi ... ha ! ha !
Turut diadakan acara penyampaian bag ole-ole kepada setiap keluarga yang menyertai Hari Keluarga Maklimah kali ini dan disampaikan sendiri oleh Mak @ Nenek. Jadi riuh rendah suasana dalam rumah. Walaupun isinya tidak sama, namun diharapkan semuanya berpuas hati.
Majlis Di Rumah Pengantin
Majlis akad nikah dijangka berlangsung pada jam 9.30 pagi. Semua orang telah menunggu termasuk rombongan dari pihak lelaki. Namun jam 10.00 pagi baru Imam muncul. Muda kelihatan imam tersebut. Nampaknya majlis berjalan lancar dan ucapak akan nikah hanya sekali dilafazkan. Namun yang agak menariknya, selain ada ‘percubaan’, juga disediakan teks ucapan akad nikah oleh pihak lelaki dan bapa pengantin perempuan.
Penganti lelaki Dr Mohd Nizam bin Lani, orang KL yang merupakan pensyarah di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu dan Asmah Hani ketika ini mengajar di Miri Serawak. Khabarnya Joy Paklong yang menemukan mereka berdua. Lepas ini entah macamana entah, sorang di barat sorang di Timur. Lepas majlis pernikahan diadakan majlis penyarungan cincin, maskawin dan bergambar beramai-ramai di kalangan keluarga serta jamuan ringan.
Rupanya Che Shahrom hanya order makanan dan kita-kita yang kena hidang. Agak kecoh juga pada pagi tersebut sebab jemputan datang mulai 11.00 pagi, sedang jam 10.30 pagi makanan belum muncul dan lori yang nak hantar air batu pun sesat. Jadinya sedara mara anak beranaklah yang kena rewang menyedia dan menghidangkan makanan. Untuk basuh membasuh telah ada pakatan daripada rakan jiran Mak Ani yang juga dikenali sebagai Ustazah di sana.
Majlis perarakan dan persandingan pengantin kemudian diadakan jam 12.00 tengahari. Simple sahaja, takde silat atau tol-tol, hanya kompang sahaja. Selepas bergambar ramai bersama keluarga dan sedara mara, kedua pengantin bersantap dalam majlis makan beradap. Sambil mengambil peluang makan tengahari, ahli keluarga Maklimah nampaknya terpaksa mengundurkan diri kekira jam 1.30 tengahari. Berat juga nak beredar sebab majlis sedang sibuk.
Taman Tamaddun Islam
Kami balik bersiap, solat jamak zuhur dan asar, kemudian keluar kekira jam 2.30 petang dan menuju ke Taman Tamaddun Islam yang menempatkan Masjid Krystal. Jalan agak jem ketika tu. Agaknya ramai orang luar membanjiri Kuala Terengganu sempena cuti sekolah. Cabaran bila bergerak konvoi, takut ada yang tertinggal dan masuk salah jalan, khususnya di persimpangan yang ada lampu trafik.
Akhirnya tiba dan dapat juga merasai keindahan Masjid Kristal. Tetapi bagi keluarga yang anak kecik-kecik, nampaknya tak larat dan berjalan. Lantas naik keretapi sekeliling taman sahaja. Kerana kesuntukan waktu, kami tidak masuk ke taman yang menyediakan replika binaan beberapa masjid tersohor serata dunia yang ditempatkan dalam Taman Monumen. Bayaran masuk RM18 seorang dikenakan.
Keropok Mengabang Lekor
Kekira jam 4.30 petang, bertolak ke Besut melalui jalan alternatif yang juga dikenali sebagai Jalan Pantai. Singgah di kedai tepi jalan yang terkenal dengan keropok basahnya yang sedap di Kg Mengabang Lekor. Ramai sungguh orang sehingga beratur panjang untuk membelinya.
Di sini sebenarnya kita boleh lihat bagaimana proses menghasillkan keropok basah. Masalahnya nak beli untuk bawak balik Johor tak boleh, sebab bukannya boleh tahan lama di simpan. Jadi beli untuk sarapan esok dan makan gitu-gitu ajelah ...
Homestay Titian Villa Tg Demong
Akhirnya tiba di Homestay Tg Demong jam 6.45 petang. Argh, agak buruk dan tidak diurus rapi rumahnya. Sampah bersepah, barangan buruk / terpakai diletakkan sana sini dan yang mengejutkan bekas sabun membasuh pinggan tertulis perkataan ‘Stewed Pork’. Tanya tuan empunyanya, katanya sebelum ini orang Melayu Penang duduk. Alat BBQ katanya siap sedia, tapi rupanya dah rosak tambahan takde jaring. Entahlah .. tapi tak puas hati betul.
Sudah takde pilihan, belasah ajelah.
Memasing bersiap dan mandi manda untuk program malam pulak iaitu barbeque dan tahlil. Solat maghrib dijamakkan kepada lepas Isyak. Abang Nor, abang sulong kepada Kak Nab @ Maklong sekeluarga datang membantu untuk menyiapkan hal barbeque ( bbq ).
Majlis Bacaan Yasin & BBQ
Masyuk Isyak, solat jemaah jamak Isyak dan Maghrib. Kemudian diadakan majlis bacaan Yasin serta tahlil yang disedekahkan pahalanya kepada arwah Ayahanda Masrom bin Salam serta arwah sedara mara terdekat.
Ini diikuti dengan mesyuarat ringkas mengenai kekerapan hari keluarga sama ada setahun sekali atau dua tahun sekali, program seterusnya, kutipan bagi menampung kos Hari Keluarga serta hal pembahagian tanah pusaka arwah Ayahanda. Harapnya semua setuju dengan pembahagian tersebut yang sampaikan oleh Abang Adam @ Che Adam dan ditentukan oleh Mak sendiri. Untuk tujuan tanah ini juga, memasing dikehendaki isikan maklumat dan tandatangan borang yang dibawa bersama.
Nampaknya juadah bbq yang berupa ikan cencaru, ikan kembung, ayam, udang dan ketam begitu laris. Cuma juadah yang di bawa daripada rumah pengantin ada tinggal sikit. Agaknya semua dan keletihan, lalu tidur pun awal.
Lagi Gambar boleh dilihat di http://picasaweb.google.com/jhm1663/HariKeluargaMakLimah2010#
0 comments:
Post a Comment