Thursday, July 15, 2010

Floria Putrajaya 2010

Putrajaya, 11 Julai 2010. Festival Floria Putrajaya yang berlangsung selama sembilan hari bermula Sabtu 10 Julai sehingga 18 Julai 2010 di tapak Persisiran Tasik, Presint 2 di sini dan dibuka secara percuma kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 10 malam. Ini merupakan edisi ke tiga festival seumpamanya, lantaran sambutan hebat dalam dua edisi sebelum ini. Maka tahun ini diadakan lagi dengan khabarnya peningkatan taraf kepada level antarabangsa.

Festival ini disertai oleh pakar dan pereka bentuk landskap dari luar negara yang pernah memenangi pelbagai anugerah dalam pelbagai majlis bunga dan taman antarabangsa serta terkenal dalam kalangan pada penggubah bunga. Ini menjadi tarikan Floria 2010 yang bertemakan Keindahan Tropika dan penganjur menjangkakan kedatangan lebih setengah juta pengunjung.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, bahawa 'Floria Putrajaya kini setanding dengan festival pameran bunga yang terkemuka di dunia seperti Chelsea Flower Show, London; Melbourne International Flower and Garden Show dan Canberra Flower Show di Australia dan Festival Bunga Chiang Mai di Thailand. Kelainan Floria Putrajaya berbanding dengan festival bunga Chelsea dan Australia ialah Malaysia kaya dengan bunga-bungaan dan tumbuhan tropika yang eksotik berbanding dengan bunga dan tumbuhan di negara bersuhu sejuk.

Manakala Pengarah Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya Mohamad A Shukor pula berkata bunga heliconia ( bunga sepit udang ) dipilih sebagai tema bagi festival kali ini kerana ia mempamerkan keindahan tropikanya selain sesuai digunakan sebagai elemen tumpuan dalam sesuatu landskap. Pelbagai spesis bunga heliconia dipamerkan di samping lebih 400,000 koleksi tumbuhan dan bunga-bungaan daripada pelbagai spesies.

Berdasarkan kunjunganpada Ahad, 11 Julai lalu, ternyata memang ramai orang datang berkunjung ke festival ini. Memang menarik pokok bunga-bunga yang dipamerkan termasuk pelbagai idea lanskap.

Bagi pengemar kamera, inilah masanya hendak mencuba pelbagai gaya dan kreativiti mengambil gambar-gambar foto terbaik. Tidak kira apa jenis kamera, daripada kamera telefon hinggalah kepada yang lens zoom panjang-panjang.

Terdapat juga penyertaan daripada agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang memang menjadikan pokok bunga dan perhiasan serta lanskap sebagai bidang tumpuan mereka. Antaranya ialah Taman Botani Pulau Pinang, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Landskap Negara, Jabatan Landskap Johor dan Perbadanan Putrajaya sendiri. Turut diadakan pertandingan antara sekolah-sekolah menengah.

Di samping itu terdapat pelbagai aktiviti sampingan yang turut diadakan, ini termasuklah bengkel dan pertandingan melukis, mewarna, membuat tekap batik. Tidak kurang juga pelbagai jualan yang berasaskan pokok perhiasan, taman dan lanskap diadakan oleh beberapa syarikat yang dijemput menyertainya.

Tidak ketinggalan jualan makanan bersebelahan kawasan pasar malam serta buah-buahan tempatan. Tetapi reganya agak mahal sikit.


Lagi gambar ketika mengunjungi pameran di http://picasaweb.google.com/jhm1663/FloriaPutrajaya2010#

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP