Sunday, January 17, 2010

Ke Tanjung Piai : Penghujung Benua Asia ?

Semasa kecil malah sebelum-sebelum ini macam tidak pernah dengar nama Tanjung Piai. Tetapi entah kenapa tetiba nama tersebut menjelma dan keinginan untuk berkunjung ke sana sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apakah keistimewaan Tanjung Piai ini ? Memang istimewa dan alhamdulillah, akhirnya kami berkesempatan ke sana pada 10 Januari 2010 yang lalu.

Sebagaimana maklum, Malaysia terletak dalam benua Asia iaitu benua terbesar di dunia. Tanah paling selatan bagi benua Asia adalah terletak di sebuah tanjung yang dinamakan Tanjung Piai ( Tg Piai ). Nama Piai dikatakan diambil bersempena dengan sejenis paku pakis iaitu Paku Piai Raya. Tumbuhan ini dikatakan dahuluinya banyak tumbuh melata di celahan pokok bakau kawasan ini. Semasa kunjungan kami ke sana, macam tak berapa nampak aje.

Tg Piai terletak berdekatan dengan Kukup, Pontian Johor. Ia boleh diakses dengan mudah menggunakan jalan besar Johor Bahru-Pontian. Pernah kedengaran suatu ketika dahulu hendak dibina highway dari Taiping Perak ke Tg Piai. Agaknya sekitar 2003/2004. Tetapi entahlah apa jadi kini.

Bakau di sini dikatakan digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau di Johor serta diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri. Bakau tersebut juga digazetkan sebagai Taman Negara dan tapak RAMSAR oleh Kerajaan Negeri Johor diuruskan oleh Johor National Parks Corporation (JNPC). Apakah itu RAMSAR ? Ramsar sebenarnya nama sebuah pekan di Iran dimana termeterainya perjanjian pelindungan Wetland sedunia. Maksudnya Taman Negara Tg Piai termasuk sebagai kawasan perlindungan Ramsar.

Kunjungan bermula di Kompleks Pelawat yang baru dibuka pada 16 September 2001. Bangunan ini mempunyai Galeri Infomasi, pejabat taman dan surau. Tiket masuk boleh diperolehi di bahagian depan pintu masuk. Pengunjung juga boleh membuat pertanyaan mengenai lawatan berpandu dan kemudahan taman di sini. Untuk masuk ke kawasan ini, tiket RM5 untuk dewasa dikenakan dan RM3 untuk pelajar sekolah serta kanak-kanak. Parking pula RM3 juga. Hanya ada satu kedai makan dibuka masa kami ke sana.

Masuk kawasan saja ada galeri penerangan mengenai keistimewaan dan habitan Tg Piai. Terdapat juga tugu besar Tg Piai yang agak menarik di kawasan pintu masuk.

Oleh kerana kawasannya agak luas, kami memilih untuk ke tanah penghujung sahaja. Jalan dibina untuk memudahkan pengunjung sampai. Perjalanan melalui hutan paya bakau dengan tanahnya yang lembut berselut tetapi terdapat pelbagai habitat seperti siput ketam dan ikan belacak ( agaknya ). Tetapi yang agak menakutkan ialah monyet-monyet juga ada berkeliaran mencari makanan.

Setelah kira-kira 600meter berjalan, sampailah di kawasan penghunjung benua. Di sana deck pelawat disediakan. Terdapat globe serta beberapa papan tanda papada kayu dengan tulisan yang agak menarik. Suasana yang agak redup dengan tiupan angin laut ketika itu begitu nyaman sekali dirasakan.

Dari situ kelihatan banyak kapal dagang yang besar di tengah-tengah laut. Mungkin itu sudah masuk kawasan Singapura agaknya. Malangnya kawasan pantainya semakin pupus akibat hakisan. Kelihatan berbagai kesan hakisan serta batas penghalang atau penghadang ombak dibina di kawasan pantai atau laut. Kami percaya kawasan Tg Piai sudah semakin mengecil.

So sekurang-kurangnya kami telah sampai di tanah besar paling selatan benua asia. Itu sahaja istimewanya.

Klik untuk lagi gambar

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP